Sejarah

Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Jambu, Taiping telah mula beroperasi pada Januari 2001. Pada mulanya sekolah ini telah menumpang di SK Kampung Jambu, Taiping kerana bangunan barunya belum siap. Bilangan pelajar yang berdaftar hanyalah 217 orang yang terdiri dari pelajar-pelajar Tingkatan Satu. Pelajar-pelajar ini datangnya daripada sekolah-sekolah berhampiran seperti SRK King Edward VII, SK Taiping, SK Seri Aman, SK Sultan Yusof dan pelajar-pelajar peralihan daripada SMK Darul Ridwan dan SMK Sri Kota.  Pelajar-pelajar ini diagihkan kepada 7 kelas yang berasaskan nama pokok-pokok kayu iaitu angsana, beringin, cengal, jati, kemuning, meranti dan tempinis.  Seramai 17 orang guru dan 6 orang staf sokongan telah bertugas pada peringkat awal penubuhan sekolah ini.

Pada Jun 2001, sekolah ini telah mula beroperasi di bangunannya sendiri di Jalan Convent, Taiping.  Pengetua pertama ialah Tn. Haji Abdullah Bin Haji Hashim yang telah bersara pada tahun 2007. Kini SMK Kampung Jambu diterajui oleh Pengetua yang kedua iaitu Puan Aminah Hatun binti Wabullah.

Sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan yang terdiri daripada dua blok bangunan kelas dan pentadbiran yang terdiri daripada 24 kelas, pejabat, bilik guru, bilik gerakan, dewan, pusat sumber, bilik muzik, koperasi, surau, bilik geografi dan bilik sejarah. Satu blok bangunan makmal yang terdiri daripada 3 makmal sains teras, 3 makmal sains tulen, satu makmal kejuruteraan dan satu makmal computer. Satu blok bangunan Teknik dan Vokasional yang terdiri daripada tiga Makmal Kemahiran Hidup, dua Makmal Ekonomi Rumah Tangga, Bilik Seni dan Makmal Lukisan Kejuruteraan.

Staf-staf sekolah ini terdiri daripada pelbagai kaum dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.  Dengan kepakaran sedia ada serta kreativiti dan komitmen terhadap kerja, perancangan yang jitu dan strategik serta kerjasama daripada semua pihak, diharapkan sekolah dapat dimajukan menjadi SEKOLAH CEMERLANG di dalam beberapa tahun lagi, sekiranya seluruh pihak dapat memainkan peranan yang diberikan.